Saya terpanggil untuk menulis cerita sebenar tentang peristiwa yang berlaku di Kejohanan Catur di Titiwangsa. Kejadian yang telah diperbesarkan itu berlaku disebabkan niat seseorang yang menyimpan dendam peribadi.
Setelah lama menyepi dari pertandingan catur, saya telah bermain di kejohanan kelolaan seorang sahabat Mr. Collin Madhavan di Cheras. Di sana, saya telah menjadi juara. Disebabkan kerinduan kepada catur, saya pun mencari di Internet kejohanan pada hujung minggu itu(Ahad,21hb Mac 2010).
Saya terlihat ada dua kejohanan di Kuala Lumpur iaitu Stonemaster dan di Titiwangsa. Di Stonemaster, saya tahu hanya untuk rating 1600 ke bawah. Maka, saya hanya menghantar 2 orang anak saya menyertai kejohanan tersebut. Saya tidak sedari di Titiwangsa pertandingan tersebut juga hanya untuk rating 1600 ke bawah.
Saya telah kenal En.Latiff semenjak 1998, iaitu 12 tahun lepas semasa beliau mengendalikan kejohanan di Universiti Malaya(UM).
Sejak itu, persahabatan kami semakin rapat sehingga beliau selalu datang ke Chow Kit bersama sahabat catur yang lain iaitu Azahari Md. Noh dan Ghazali Che Kob. Kami selalu bermain Blitz di sana bersama rakan-rakan lain.
Kira-kira 6-7 tahun yang lepas, beliau telah meminta saya dan rakan saya membuat kerja wiring elektrik di rumah beliau di Taman Melawati. Semuanya berjalan lancar sehingga di tahap akhir, kerja wiring tersebut kami ada berbalah pasal harga yang beliau pinta.
Semasa pertemuan saya dengan Rizal A. Kamal di pusingan ke-4 kejohanan di Titiwangsa,kami di meja pertama. Di luar dugaan saya, jam yang dibekalkan dimeja tersebut tidak berfungsi dengan baik. Saya telah mengunci jam tersebut sebanyak 2 kali kerana ianya tidak bergerak. Pada kali ke-3 saya mengunci jam tersebut, seorang budak lelaki India berumur sekitar 11-12 tahun, tiba-tiba berkata "tadi masa ada 10 minit". Tapi jamnya tertera sekitar 6 minit lebih.
Saya terkejut mendengar dakwaan budak India tersebut dan saya kata "mana ada" kerana saya hanya mengunci jam tersebut dan tidak menyentuh masa. Pada masa itu, Rizal melihat masa pada jam tersebut dan tidak komen apa-apa pun. Sebelum itu pun, saya ada mengunci jam tersebut dan tidak berlaku apa-apa. Sekiranya benar dakwaan budak lelaki India tersebut, Rizal sudah terlebih dahulu membuat bantahan dan menghentikan permainan tetapi, itu tidak berlaku. Beliau bukan sahaja tidak melihat sebarang perubahan masa tetapi yakin tiada berlaku sebarang penipuan.
Dia meneruskan permainan seperti biasa dan akhirnya saya telah berjaya mendapat posisi checkmate, lalu beliau pun resign. Setelah kalah dalam permainan tersebut, barulah dia hendak mendisqualifiedkan saya dengan berbagai cara antaranya membesarkan kembali dakwaan budak lelaki India tersebut. Cuba kita ambil sebiji jam catur dan lihat dari sisi tepi masanya, kemudian lihat dari hadapan. Sudah tentu akan terlihat perbezaan masanya. Seandainya saya hendak mengubah masa jam tersebut, ianya bukan 6 minit sepatutnya 1 minit barulah saya boleh menang masa. Di mana akal kita yang sihat boleh mengatakan perkara tersebut boleh berlaku dan Rizal memang sedar tentang perkara tersebut.
Ianya hanya dibangkitkan untuk memenangi kejohanan tersebut dan semata-mata kerana RM 500 beliau tergamak memburukkan orang lain. Di manakah etika seorang pemain catur yang budiman? Dunia catur kita kecil sahaja, satu masa nanti orang akan tahu siapa betul dan siapa salah. Rizal, jujurlah dengan diri sendiri adakah anda benar ada melihat sendiri masa telah dikurangkan? Janganlah hanya kerana dakwaan seorang budak lelaki India, hukuman dijatuhkan pada seseorang. Andai begitu kejadiannya memang sungguh senang hendak memburukkan seseorang dan apa akan jadi kepada dunia catur kita?
Kepada En. Latiff sebelum permainan bermula, saya telah menyemak rating saya dengan seorang rakan, Chong Kwai Kun(pemenang ke-4) dan rating nasional saya ialah 1684. Saya telah bertemu dengan En.Latiff dan telah bertanya sebayak 2 kali kepada beliau "bolehkah saya bermain", dan beliau kata "mainlah dulu" kemudian nama saya pun disenaraikan. Tidak masuk akal beliau tidak kenal saya dan tidak tahu rating saya.
Setelah semua perlawanan selesai dan pada majlis penyampaian hadiah nama saya telah dikeluarkan dari senarai pemenang. Saya bertanya kepada beliau mengapa dan apa sebabnya? Beliau berkata rating saya lebih dari 1800. Itu hanya rating fide saya. Kemudian wang entry fee saya pun dikembalikan. Bukankah lebih mudah saya tidak disenaraikan dari mula.
Saya kemudian sedar, perkara tersebut telah beliau rancangkan sedari awal. Kes jam dan rating tersebut hanyalah alasan beliau untuk mengenakan saya kembali dengan cara yang licik. Kepada En.Latiff janganlah hal peribadi mempengaruhi keputusan profesional kita. Kepada Rizal, janganlah hendak menghalalkan RM 500 itu hanya dengan dakwaan seorang budak lelaki India. Sekiranya perkara tersebut dibiarkan berterusan sungguh malanglah masa depan catur kita. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa seterusnya.